Saya menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan pada 9 Oktober lepas yang menarik balik pengharaman ke atas dua buah buku kartun saya – 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun.

Pada Julai 2010, kerajaan mengumumkan pengharaman kedua-dua buku tersebut kerana kandungannya menggugat ketenteraman awam dan boleh mempengaruhi orang ramai supaya merusuh terhadap kerajaan. Ketika membuat keputusan hakim Muhammad Ariff Yusof, Tengku Maimun Tn Mat dan Varghese a/l G Varughese berkata pihak kerajaan gagal membuktikan bahawa kartun-kartun karya saya dalam buku tersebut bersifat hasutan.

Disamping mengakui bahawa kartun saya “kasar”, hakim Muhammad Ariff berkata namun ia tidak boleh dijadikan alasan kepada kerajaan untuk melabelkan ia sebagai menggugat ketenteraman awam, apa lagi hasutan.   Perkara penting yang ditekankan dalam perghakiman tersebut ialah jika pihak kerajaan tidak berpuas hati terhadap kritikan dalam kartun saya, mereka boleh menggunakan undang-undang sivil untuk menyaman saya dan bukan dengan mengharamkan terus buku-buku tersebut.

KENYATAAN ZUNAR

Saya ingin menegaskan di sini, bahawa sebagai kartunis politik saya bersedia menerima tindakan mahkamah daripada pemimpin-pemimipn kerajaan (termasuk isteri) yang merasakan saya melakukan fitnah terhadap mereka dalam kartun-kartun saya. Saya bersedia mempertahankan karya-karya saya kerana ia dihasilkan setelah homework dan kajian mendalam terhadap fakta dalam sesuatu isu.

Selain itu, saya juga mendesak kerajaan menghormati keputusan mahkamah secara prinsip, iaitu bukan sahaja melepaskan pengharaman terhadap 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun, tetapi juga kepada buku-buku saya yang lain. Empat buku saya masih diharam secara rasmi; Gedung Kartun, Isu Dalam Kartun vol 1, Isu Dalam Kartun vol 2 dan isu Dalam Kartun Vol 3. Manakala sebuah lagi buku saya, “Cartoon-O-Phobia” disiasat di bawah Akta Hasutan.

Saya juga mahu kerajaan menghentikan tekanan yang dilakukan terhadap kilang-kilang pencetak yang mencetak buku-buku saya. Setakat ini sudah tiga kilang cetak diserbu oleh pihak kerajaan dan mereka diugut agar tidak lagi mencetak buku-buku saya atau lesen mereka akan ditarik balik. Ini mengakibatkan tidak ada kilang cetak yang berani mencetak buku saya kecuali dengan tidak mencetak nama mereka di halaman buku yang mana ini bertentangan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Saya terpaksa mengambil masa selama tiga bulan untuk mendapat pencetak yang berani mencetak buku terbaru saya “Pirate of the Carry-BN” — itu pun percetakan terpaksa dilakukan pada sebelah malam. Saya juga terpaksa menghitamkan nama pencetak bagi melindungi mereka.

Saya juga mendesak kerajaan menghantikan ugutan dan tekanan terhadap pekedai yang menjual buku-buku saya. Dalam serbuan oleh polis dan KDN, pekedai-pekedai diugut akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak.Ini menyebabkan tidak ada yang berani menjual buku-buku saya yang lain termasuk – “Lawak dan Lawan”, “Even My Pen has A Stand”, “1 Moolaysia” dan “Cartoon-O-Phobia”. Ini bererti. buku-buku ini sebenarnya juga diharamkan, walau tidak secara rasmi. Saya sekarang hanya bergantung kepada jualan minimum belalui website saya, zunar.my.

Saya juga mahu kerajaan memulangkan semua buku-buku saya yang dirampas di kedai-kedai dan juga ketika serbuan ke pejabat saya. Sebanyak 408 naskah “Gedung Kartun” dirampas oleh pihak KDN ketika serbuan di pejabat saya pada September 2009, manakala ratusan yang lain dengan judul berbeza dirampas ketika serbuan di seluruh negara. Saya juga mahukan kerajaan menghormati kebebasan bersuara dan berkarya seperti yang dijamin dalam Perlembagaan. Kegagalan melakukan ini akan menyebabkan pentadbiran Najib menjadi kerajaan kartun.

Zunar

San Francisco

10 Oct 2014

Kartunis Politik

Anugerah “Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011” oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis, Washington.