Saya disiasat sebagai penjenayah – polis sasar pembeli online saya pula

Hari ini, saya disiasat selama kira-kira 45 minit oleh polis atas penerbitan buku terbaru, “Komplot Penjarakan Anwar” di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Saya disiasat atas “Seksyen Jenayah Terkelas” melibatkan tiga undang-undang, iaitu:

a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan

b) Akta Hasutan

c) Kanun Keseksaan

Sebanyak dua laporan polis dibuat di dua balai balai polis berasingan mengenai penerbitan buku tersebut. Sepanjang soal siasat, saya enggan menjawab 27 soalan yang dikemukakan oleh polis kepada saya. Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Polis meminta sebuah portal pembayaran atas talian menyerahkan maklumat transaksi mereka bagi mengenal pasti pelanggan yang membeli buku saya. Sebuah e-mel daripada MOLPay Sdn Bhd kepada saya memaklumkan, mereka menerima surat rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendedahkan senarai pelanggan.

“PDRM menghantar permohonan rasmi untuk MOLPay Sdn Bhd bagi membekalkan resit bayaran atas talian pelanggan yang membeli buku tersebut melalui laman web anda www.zunar.my, yang mana MOLPay tiada pilihan kecuali membekalkan mereka dengan maklumat yang dikehendaki,” e-mel daripada MOLPay dipetik.

Pada 6 November 2014, pembantu saya – Rizaldy Rafie, Raja Norita dan Norliza Kassim telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Putrajaya kerana menjual buku kartun “Konspirasi Memenjarakan Anwar” dan “Pirate of the Carry-BN”. Beberapa hari selepas itu, pengendali laman web saya telah dipanggil polis ke balai Dang Wangi untuk disoal siasat.

 

LATAR BELAKANG

Sebelum ini, Zunar telah ditekan oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana menghasilkan karya kartun yang dituduh memudaratkan ketenteraman awam. Lebih daripada 400 salinan buku beliau telah dirampas dan lima judul buku beliau bertajuk “Perak Darul Kartun”, “1 Funny Malaysia”,”Isu Dalam Kartun” Vol. 1, 2 dan 3 telah diharamkan oleh Menteri Dalam Negeri dari 2009 hingga 2010.

Tekanan terhadap Zunar telah diperluaskan kepada pencetak, vendor dan pemilik kedai-kedai buku di seluruh negara dimana permis mereka telah diserbu oleh pihak berkuasa dan mereka diberi amaran untuk tidak mencetak dan menjual buku Zunar pada masa akan datang.

Pada tahun  2011, Zunar telah diberi anugerah “Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial” oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, sebuah NGO yang berpangkalan di  Washington, Amerika Syarikat. Dan sekali lagi pada bulan Oktober 2014, salah satu buku Zunar, “Pirate of The Carry-BN” telah diterima ke dalam Library of Congress di Washington.