19

Mar

Kenyataan dalam BM: Saya pertahan kartun saya dalam Washington Post

2 Comments| 0 Likes

Saya pertahan kartun saya dalam Washington Post

Saya merujuk artikel yang disiar oleh The Star Online hari ini bertajuk “Local cartoonist Zunar slammed over Washington Post comic strip.” (Kartunis tempatan dihentam kerana kartun dalam Washington Post). Artikel ini adalah sebagai respon kepada kartun saya yang disiar oleh Washington Post sehari sebelum itu.

Akhbar Amerika itu menyiarkan kartun saya dalam artikel bertajuk,  “Cartoon of the day: Malaysian artist on the lost jet — and his government’s ‘weak’ response to it. (Kartun hari ini: Artis Malaysia komen mengenai kehilangan jet serta kerajaan yang ‘lemah’. (link http://www.washingtonpost.com/news/comic-riffs/wp/2014/03/18/cartoon-of-the-day-malaysian-artist-on-the-lost-jet-and-his-governments-weak-response-to-it/)

Dalam kartun tersebut yang disiar oleh web portal Malaysiakini dan diikuti oleh blog saya (www.zunar.my), saya berpendapat bahawa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib Razak sangat lemah dalam menangani tragedi yang menimpa kapal terbang MH370.

The Star Online melaporkan kenyataan Ketua Politik, Keselamatan dan Ehwal Antarabangsa Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak bahawa kenyataan saya itu “tidak sensitive dan misleading” serta “hanya spekulasi dan tuduhan liar.”(Link: http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/03/19/Zunar-washington-post/)

Saya memahami sesetengah ahli akademik kerjanya membela Perdana Menteri, tetapi Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa nampaknya tidak cukup membaca sebelum dia membuka mulut. Sebagai makluman, saya membuat kesimpulan yang kemudian diterjemah dalam kartun hasil dari pembacaan serta analisis yang bukan saja diperolehi bmelalui media perdana tempatan saja, tetapi melalui puluhan media antabangsa lain juga.

Jika Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa menonton dan membaca CNN, Al Jazeera, Washington Post, Jakarta Post, South China Morning Post sebagai contoh, pasti akan terbaca bagaimana China, Amerika dan Vietnam sangat kecewa dengan Malaysia yang didakwa tidak berkongsi maklumat. Semalam Indonesia juga melahirkan kekecewaan yang sama.

Beberapa jam lepas, BBC melaporkan bahawa kaum keluarga penumpang di China mengugut untuk melancarkan mogok lapar sekiranya pihak berkuasa Malaysia gagal untuk memberi mereka sebarang maklumat tepat mengenai MH370.

Saya tidak menyatakan bahawa kita harus percaya segala laporan media luar negara, tetapi pemahaman kita akan menjadi sangat cetek jika kita hanya membaca akhbar arus perdana.

Saya ingin menegaskan sekali lagi kenyataan saya bahawa Najib adalah pemimpin yang “terlalu lemah.” Tun Dr Mahathir (ini tidak bererti saya suka kepada beliau) akan memberi komen dan arahan jelas mengenai isu ini hampir setiap hari sekiranya ia berlaku di era beliau.

Tetapi Najib tidak hanya melepaskan tanggungjawab ini kepada seorang lagi menteri “tidak upaya” Hishammuddin Hussein, tetapi mengambil masa tujuh hari sebelum membuka mulut untuk mengadakan sidang akhbar, itu pun tidak berani berhadapan wartawan dengan enggan menjawab sebarang soalan.

Saya pertahan pandangan saya dalam Washington Post bahawa sidang akhbar oleh Najib itu hanya “wayang” untuk mendapat keuntungan politik. Sikap Flip-flop dalam pembatalan di saat akhir satu lagi sidang akhbar yang dijadual tiga jam selepas itu menggambarkan kelemahan pentadbiran beliau.

Sebagai kartunis, tugas saya ialah memberi sudut pandangan yang berbeza supaya pembaca mendapat perspektif yang lebih baik bagi pendebatan yang sihat.

Falsafah kartun “how can I be neutral, even my pen has a stand” menghendaki saya mempunyai etika berkartun dalam menyampaikan mesej dan pandangan. Saya membuat banyak kajian dan mengumpul seberapa banyak maklumat dari perspektif yang berbeza.

Zunar

Kartunis politik

19 Mac 2014

Rujukan

Zunar adalah kartunis politik yang pernah ditahan di bawah Akta Hasutan kerana melukis kartun. Tujuh buku beliau diharam oleh kerajaan.  Zunar adalah penerima anugerah “Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011” oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis, Washington.

    2 Comments

Leave a Reply

Your Shopping Cart