Zunar – Budak sains yang tak suka sains

Suatu hari pada 1974 – seorang budak lelaki kelihatan berlari-lari di sebuah kampung kecil di Pendang, Kedah.

Di tangan budak itu senaskhah majalan kanak-kanak, Bambino, yang memang popular pada zaman itu.

Tidak ada apa-apa yang membuat rasa gembiranya membuak-buak kecuali lakaran kartunnya disiarkan dalam majalah berkenaan. Dan dia – si Zunar itu – memperoleh naskhah berkenaan secara percuma sebagai imbuhan kartunnya disiarkan.

Pada zaman itu biasanya penduduk Kampung Padang Durian perlu ke bandar untuk membeli majalah yang terhad jualannya. Perjalanan untuk sampai ke pekan Pendang biasanya mengambil masa sehingga empat jam.

Namun, Bambino itu diperoleh Zunar tanpa perlu mengorbankan begitu banyak masa ke bandar. Lebih penting, ia adalah kartun pertama Zunar diterima untuk disiarkan sesebuah majalah.

Zunar – atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque – memang terkenal sebagai pelukis kartun satira politik yang banyak menyentuh salah laku pemerintah, terutama berkaitan isu rasuah dan penyelewengan.

Pilihannya itu menjadikan Zunar, 54, musuh di mata pemerintah.

Dia tidak ingat dengan tepat pada usia berapakah dia mula memegang berus lukisan, namun kenangan berlari-lari di kampung itu menjadi detik paling tidak dapat dilupakannya sepanjang kerjaya sebagai pelukis kartun.

Persimpangan dilema

Baru-baru ini Zunar berkongsi kenangannya dengan Malaysiakini. Melalui pertemuan di studio sempitnya di Fraser Business Park di Pudu, Kuala Lumpur, Zunar hadir dengan bersahaja. Pada baju T putihnya tertera kata-kata “Membela Hak Kartunis”. Dia berseluar panjang hitam dan berselipar.

Kata Zunar, minat melukisnya tidak datang daripada mana-mana rangsangan sebaliknya bakat semula jadi.

“Saya suka melukis, ia datang secara semula jadi dan tidak dapat dijelaskan. Saya masih ingat semasa kartun pertama saya diterbitkan, saya dapat satu majalah percuma dan di dalamnya tertera satu setem getah.

“Saya tunjukkan majalah itu kepada seluruh orang kampung dan berkata kepada mereka: Kamu tengok, kamu perlu beli majalah tetapi majalah kamu ada setem getah tak? Saya ada! Kerana kartun saya diterbitkan,” kata Zunar dengan senyuman lebar dan seperti biasa membuat matanya mengecil.

Apabila masuk sekolah menengah, sama macam pelajar lain, Zunar perlu berdepan dengan sistem pendidikan kerajaan Malaysia yang lazim. Dia perlu memilih sama ada mengikuti aliran sains atau sastera.

Ketika itu, ibu bapanya tidak mengalakkan dia memilih aliran sastera. Dalam keadaan begitu, dia diasak dengan pertanyaan yang sukar untuk dijawab: “Macam mana kamu nak hidup kalau menjadi kartunis?”

Lantas Zunar mengikuti keinginan ibu bapanya dengan memilih aliran sains sehingga diterima memasuki Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Di situ, dia memilih kursus yang berkaitan dengan Sains juga – Sains dan Pendidikan.

Sepanjang masa itu, Zunar membayangkan pada masa depannya dia akan menjadi saintis. Namun tanpa dijangka, dia tidak hadir pada peperiksaan akhir tahun pertama kursusnya.

Alasannya – dia tidak suka kursus berkenaan.

“Mungkin pada masa itu saya sudah sedar minat sebenar saya ialah melukis kartun,” katanya.

Jadi tukang sapu

Zunar masih ingat tahun itu – 1980. Tanpa hadir peperiksaan dia kemudian membuat keputusan untuk berhenti daripada pengajian di UTM. Dia baru berusia 18 tahun ketika itu.

Selepas tercicir dari universiti, Zunar mula membuat pelbagai kerja sambilan seperti menjadi buruh pembinaan. Antara tugasnya ialah membancuh simen dan membina dinding.

Dia juga pernah bekerja sebagai tukang sapu di kilang syarikat minuman F&N. Bidang tugasnya di situ ialah membersih longkang, tandas dan pejabat.

Kebetulan, studio Zunar sekarang ini adalah berdekatan kilang dan pejabat F&N itu.

Selepas empat tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap, nasib semakin memihak kepadanya.

Namun tawaran kerja itu seolah-olah berjenaka kepadanya.

Kata Zunar dia diberikan peluang mengisi kekosongan jawatan juruteknik makmal hospital. Keadaan itu agak lucu baginya kerana Zunar baru saja ‘melarikan diri’ daripada bidang sains.

Namun Zunar menerima kerja itu dan pada ketika sama kartunnya sudah kerap disiarkan dalam majalah Gila-Gila. Dengan adanya kolum di situ Zunar perlu menghasilkan sekurang-kurangnya sepuluh kartun setiap bulan.

“Siang hari saya buat kerja di makmal, waktu malam pula saya melukis kartun,” katanya.

Namun ia tidak berjalan selancar yang diharapkan.

Jika pada waktu siang di makmal hospital, Zunar perlu berdepan dengan banyak nombor dan membuat kajian menggunakan mikroskop, malamnya pula dia berurusan dengan dunia kreatif.

Lama-kelamaan, Zunar berkata, otaknya seperti tidak dapat berfungsi dengan normal.

“Saya mula menghabiskan lebih banyak masa untuk melukis kartun tetapi fungsi aritmetik saya terjejas, saya tidak boleh kira nombor dengan betul.

“Ini sangat membahayakan pesakit kerana kerja saya ialah membuat kajian, termasuklah menyediakan laporan ujian darah. Saya tidak boleh silap,” kata Zunar.

Di saat itu, Zunar sekali lagi perlu membuat pilihan untuk hidupnya.

Akhirnya, Zunar meletak jawatan daripada tugas di hospital lalu menjadi kartunis sepenuh masa. Kartunnya terus dihantar kepada majalah Gila-Gila.

Sekatan, kekangan buat Zunar terus rancak

Sekatan, kekangan buat Zunar terus rancak

Pada masa itu kartun yang dilukis Zunar bukanlah bersifat politik sebaliknya menyajikan humor biasa.

Antara tajuk kartun yang masih diingatinya ialah “Ali, Siapa Namamu?”.

Tidak lama kemudian, Zunar cuba menambah ‘perisa’ dalam kartunnya. Untuk itu dia gigih mencari majalah yang boleh dijadikan rujukan walaupun hakikatnya tidak banyak bahan bacaan politik pada zaman itu.

Untuk memenuhi keperluan berkenaan, Zunar mengaku dia pernah “mencuri” senaskhah majalah Time dari hospital.

Ketika itu, kata Zunar, dia menghantar kawannya ke hospital dan ternampak majalah Time terbiar di atas meja pelawat, lalu teruja melihatnya kerana mengandungi kartun politik.

“Saya curi majalah itu kerana saya memang memerlukannya sebagai rujukan. Saya tidak mampu membeli Time pada masa itu kerana ia sangat mahal dan susah ditemui,” katanya.

Mengimbas kembali peristiwa yang tidak diketahui orang itu, Zunar sekali lagi tersenyum.

Dia berharap hospital berkenaan dapat memaafkan tindakannya, sambil mengingatkan, perbuatan itu hanya sekali dilakukannya.

Salleh Abbas punya pasal

Pada 1985, bermulalah detik Zunar – ketika itu berusia 28 tahun – menjadi pelukis kartun sepenuh masa. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad baru saja menjadi perdana menteri.

Mengikut ingatan Zunar, pada zaman itu kebanyakan orang memuji Dr Mahathir.

“Boleh dikatakan kira-kira 90 peratus rakyat suka dia, tetapi saya rasa ada banyak perkara yang tidak kena.

“Contohnya dasar Pandang ke Timur yang saya rasa tidak memberi faedah kepada rakyat, sebaliknya hanya memanfaatkan Dr Mahathir seorang,” jelasnya.

Insiden yang benar-benar membuat darah Zunar ‘menggelegak’ ialah kes pemecatan ketua hakim negara, Tun Salleh Abbas.

Nadanya tegas apabila menyentuh kejadian itu.

“Mana boleh memecat seorang hakim!” katanya.

Untuk mengetahui apa sebenarnya terjadi pada sistem kehakiman negara, Zunar mula menempah majalah bulanan Majlis Peguam Malaysia – Insan – pada masa itu.

Dia juga mula membaca majalah Aliran dan aktif menghadiri pelbagai forum dan ceramah.

Suatu hari ketika menghadiri forum anjuran Majlis Peguam dan menyertai sesi soal jawab, tiba-tiba dia bertanya kepada dirinya sendiri: “Aku seorang kartunis, boleh lukis semua ini dalam kartun. Mengapa perlu tunggu sampai sesi soal jawab?”

Selebihnya adalah sejarah. Zunar mula melukis kartun politik pada usia 30 tahun.

Ketika itu, Zunar masih menyumbang kartunnya kepada majalah Gila-Gila. Majalah itu dirasakannya kurang sesuai untuk kartun politik. Justeru Zunar mula mencari wadah lain.

Dia menyertai akhbar Berita Harian yang difikirkannya suatu medan baru untuk dia bebas menterjemah fikirannya menggunakan dakwat. Namun enam bulan kemudian, dia meninggalkan tempat itu dengan rasa kecewa.

“Ada banyak sekatan. Kamu tidak boleh melukis dengan bebas. Saya sangkakan itu tempat untuk saya siarkan kartun politik tetapi hakikatnya, mereka dimiliki oleh parti dan saya tidak boleh lukis apa yang saya ingin lukis,” katanya.

Harakah tempat bermula

Zunar berhenti melukis dan tidak lagi menghantar sebarang kartun kepada majalah atau surat khabar selama dua tahun.

Dia menggambarkan keadaan dirinya sebagai “bersara” ketika itu. Untuk menampung kehidupan, dia mengajar kanak-kanak melukis sambil kadang-kala menulis skrip filem.

Sehinggalah 1998 apabila semboyan reformasi dilaungkan. Ia sekaligus menyemarakkan semula impian kartun politik Zunar.

Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menjadi musuh Dr Mahathir.

Sebelum Anwar ditangkap dan dimasukkan ke penjara, rumahnya di Bukit Damansara mengadakan ceramah atau perjumpaan setiap malam.

Walaupun sudah berhenti melukis, Zunar yang dipengaruhi suasana reformasi ketika itu turut melukis kartun politik, mencetaknya lalu dibawa ke rumah Anwar untuk diagihkan kepada orang ramai.

Dua hari kemudian, ada kawan-kawannya bertanya mengapa dia tidak menghantar kartunnya kepada mana-mana penerbitan.

Mereka kemudian mencadangkan satu akhbar bukan arus perdana – Harakah.

Cadangan kawan itu terus menyedarkan Zunar lalu mendorongnya keluar daripada “persaraan” yang lesu. Dia mengangkat semula berus lukisan dengan lebih serius.

Kartun Zunar mula muncul di Harakah pada 1999 dan ia juga menandakan bermulanya titik perubahan baru dalam hidupnya.

Zunar berkata dia berasa mendapat kebebasan melukis di Harakah. Ia adalah perasaan yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Pada masa sama, namanya juga semakin dikenali ramai.

“Saya boleh melukis apa yang saya ingin dan orang ramai mula mengenali saya,” katanya.

Selepas beberapa tahun melukis untuk Harakah, Zunar mula mendapati pembaca utama akhbar itu ialah orang Melayu dan dia berasa perlu mengembang khalayaknya kepada pembaca antarabangsa.

Maka, dia mula menghantar kartun politik ke Malaysiakini lalu menjadi penyumbang tetap portal dalam talian itu sehingga kini.

Pada November tahun lalu, pameran Zunar di Komtar, Pulau Pinang diserang sekumpulan orang yang tidak puas hati dengan karya-karyanya yang mengkritik Datuk Seri Najib Razak.

Zunar juga ditangkap polis mengikut Akta Hasutan.

Tiga minggu kemudian, dia sekali lagi ditangkap oleh polis di satu majlis amal dan kira-kira 1,000 buku kartun dan baju T mengandungi perkataan dianggap tidak wajar oleh pihak berkuasa, dirampas.

Berhadapan dengan siri tekanan, Zunar mengakui semangatnya memang rendah setiap kali ditindas, tetapi tetapi sokongan rakyatlah yang memberi kekuatan untuk dia terus teguh melakar dengan berusnya.

“Macam slogan kelab Liverpool, You’ll Never Walk Alone. Saya tak pernah bersendirian kerana rakyat menyokong saya, seperti orang yang kamu nampak tadi. Dia memberi saya tenaga,” kata Zunar.

Sebelum temubual ini dijalankan, Zunar bertemu dengan seorang lelaki di sebuah restoran di bawah studionya.

Lelaki itu teruja apabila terserempak Zunar lalu terus mengeluarkan RM100 untuk membeli buku kartun daripadanya.

Dalam perbualan mereka, lelaki itu mendorong Zunar agar jangan putus asa melukis. Lelaki itulah rakyat yang dimaksudkan Zunar.