Kenyataan oleh kartunis politik, Zunar

komik_cartoon_o_phobia_zunar

1 NOV 2013 Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan saya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas yang memutuskan bahawa tindakan polis menangkap saya di bawah Akta Hasutan kerana menerbitkan komik “Cartoon-O-Phobia” adalah sah di sisi undang-undang. Dalam serbuan di pejabat saya pada September 2010, polis juga merampas 66 naskah buku tersebut.

Ketiga-tiga hakim Abdul Aziz Abdul Rahim, Mohd Arif Md Yusof dan David Wong juga memutuskan bahawa rampasan buku saya bagaimanapun tidak sah dan polis diperintah membayar ganti rugi dan memulangkan semula buku-buku tersebut kepada saya.

Pada saya, keputusan ini tidak dapat diterima dan kelakar. Bagaimana mungkin mahkamah boleh menyatakan bahawa penangkapan saya sah, manakala rampasan buku saya “Cartoon-O-Phobia” boleh menjadi tidak sah?

Perlu diingatkan bahawa saya adalah pelukis dan pengarang buku tersebut. Jika buku itu tidak salah dari segi undang-undang dan tidak diharamkan, apakah kesalahan yang telah saya lakukan?

Hakim berkata bahawa polis mempunyai hak untuk mensyaki, tetapi apa yang mereka tidak faham ialah sebarang syak wasangka mesti mumpunyai asas. Apa lojiknya polis boleh menganggap buku kartun saya mempunyai kandungan hasutan dan menangkap saya di bawah Akta Hasutan?

Ketika penahanan dibuat, “Cartoon-O-Phobia” baru saja selesai dicetak dan belum lagi beredar di pasaran. Oleh itu, sekiranya pihak polis mempunyai sebarang syak, mereka boleh mendapatkan buku tersebut, semak kandungannya, istihar ianya haram dan kemudian dakwa saya.

Untuk menangkap saya sebelum mengethui isi kandungan buku itu adalah penyalahgunaan kuasa yang terang. Keadilan semula jadi yang berpaksi kepada “setiap orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” dipinggirkan oleh para hakim.

Dengan menangkap saya di bawah Akta Hasutan kerana menerbitkan buku komik, menunjukkan kerajaan mengkategorikan bahawa melukis kartun politik di Malaysia adalah satu jenayah. Dan tidak memeranjatkan, hakim-hakim mengesahkannya.

Saya akan menghadiahkan tiga buah buku terbaru saya kepada ketiga-tiga hakim supaya mereka boleh memahami kartun. Sekiranya hakim tidak memahami kartun, bagaimana kartunis boleh mendapat keadilan?

Penghakiman terbaru ini adalah sebahagian skrip besar oleh kerajaan untuk menghentikan saya dari terus melukis bagi mendedahkan rasuah dan salah laku mereka. Sebelum ini kerajaan bertindak mengharamkan tujuh buku kartun saya, menyerbu pejabat saya, manakala kilang-kilang dan pekedai-pekedai diberi amaran supaya tidak mencetak dan menjual buku-buku saya.

Kerajaan rasuah takut kepada kartun. Perjuangan melalui kartun akan diteruskan!

LATARBELAKANG

Saya mengemukakan saman terhadap polis dan kerajaan kerana ‘tangkapan berniat jahat’ yang dibuat beberapa jam sebelum pelancaran buku terbaru saya ketika itu, “Cartoon-O-Phobia” pada September 2010.

Dalam kejadian itu, saya turut ditahan di bawah Akta Hasutan dan 66 naskah buku tersebut serta sebuah lukisan kartun dirampas. Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa penahanan tersebut adalah sah.

Dalam saman tersebut, saya menuntut gantirugi, perintah supaya buku-buku yang dirampas dikembalikan kepadanya dan perintah supaya lukisan kartun dikembalikan.

Saya diwakili peguam R Sivarasa.

zunar in police costudy (1)1 Nov 2013
Zunar
Kartunis politik
Pemenang anugerah keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial CRNI, Washington