9

Nov

Berjuang melalui kartun maraton tak berpenghujung

1 Comment| 0 Likes

 

Daripada MalaysiaKini: http://www.malaysiakini.com/news/246121

Zunar-Pix

ULASAN Pada 1 November lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan saya untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa polis mempunyai hak untukmenahan dan menangkap saya bawah Akta Hasutan kerana melukis kartun.

Saya ditangkap pada 24 September 2010 beberapa jam sebelum pelancaran buku Cartoon-O-Phobia.

Dalam serbuan itu, pasukan polis turut merampas 66 buku tersebut.

Saya kemudian memfail saman terhadap kerajaan kerana tangkapan tersebut jelas berniat jahat.

Walau bagaimanapun Mahkamah Rayuan seakan mengesahkan pendirian kerajaan bahawa melukis kartun di Malaysia adalah jenayah!

Saya akan menghadiahkan tiga buah buku kartun terbaru saya sebagai hadiah kepada para hakim supaya mereka memahami kartun.

Saya telah kalah dua kes di Mahkamah Tinggi dan menanti satu lagi kes di Mahkamah Rayuan dan saya tidak berharap untuk menang sebarang kes melawan kerajaan di mahkamah Malaysia.

Tujuan saya ke mahkamah ialah untuk membangkitkan kesedaran orang ramai betapa kerajaan cuba menutup pandangan berbeza sehingga menjadi takut dengan kartun.

Bagi saya, semua episod ini adalah sebahagian dari taktik kerajaan untuk menghentikan saya dari terus melukis untuk mendedahkan korupsi dan salah laku mereka.

Skrip bermula sejak September 2009 apabila pegawai-pegawai KDN menyerbu pejabat saya dan merampas lebih 400 komik baru, Gedung Kartun.

Keesokan hari mereka menyerbu kilang cetak dan memberi amaran lesen mereka akan tarik balik sekiranya terus mencetak buku Zunar di masa akan datang.

Amaran dan ugutan yang sama juga diberi kepada penjual-penjual buku di seluruh negara.

Dan apabila kerajaan nampak saya masih meneruskan penerbitan, mereka berpindah ke langkah kedua dengan mengharamkan lagi lima buah buku kartun saya atas alasan kandungannya “mengancam ketenteraman awam”.

Akibatnya, perjanjian yang saya tanda tangani seminggu sebelum itu dengan sebuah agensi terkemuka untuk pengedaran buku terpaksa dibatalkan.

Kerajaan nampaknya berjaya dalam menyekat dan menakut-nakutkan dua tonggak sokongan produksi saya – pencetak dan pengedar.

Saya menanggung hutang puluhan ribu ringgit sehingga sekarang akibat halangan terhadap penjualan buku. Saya juga terpaksa memberhentikan kakitangan dan pembantu.

Kerajaan seolah berkata kepada saya: “Kamu boleh terus melukis, tetapi jika tiada siapa berani mencetak dan tiada siapa berani menjual, apa yang dapat kamu lakukan?”

Selepas itu, sukar bagi saya untuk mendapat pencetak yang berani mencetak buku saya dan berhadapan tindakan KDN.

Ketika produksi buku terbaru “The Pirates of the Carry-BN”, saya terpaksa menghitamkan nama pencetak di dalam buku bagi melindungi kilang pencetak tersebut.

Saya tahu tindakan ini menyalahi undang-undang, tapi ini saja jalan penyelesaian yang ada.

Dari segi pengedaran, saya hanya bergantung kepada penjualan atas talian kerana tiada pekedai yang berani menjual secara terbuka.

Satu-satunya tempat yang boleh saya menjual buku ialah di majlis pelancaran 16 November ini di Petaling Jaya.

Seorang teman kartunis menasihati agar saya melembutkan cara menyampai mesej dalam kartun, dengan itu buku saya boleh dijual di pasaran terbuka dan saya boleh mendapat pendapatan selayaknya.

Jawapan saya tidak. Saya ingin menekankan bahawa saya tidak mahu sekadar melukis sebuah kartun.

Karya-karya saya bertujuan membongkar isu yang tidak disentuh oleh kartunis-kartunis ternama lainnya seperti isu Altantuya, Scorpene dan dakwaan pemborosan isteri perdana menteri. Saya juga ada menghasilkan animasi mengenai isu ALtantuya dalam Youtube.

Saya tidak akan mengorbankan tugas ini untuk ganjaran wang. Ini adalah sebahagian dari tanggungjawab sosial kartunis!

Berjuang melalui kartun ialah maraton tak berpenghujung.

Kita mengepal genggaman untuk mencapai pembentukan sebuah negara yang benar-benardiperintah rakyat, di mana Keluaran Dalam Negara Kasar adalah kebebasandan nilai kemanusiaan merentasi perbezaan agama dan kaum.

Kita tidak boleh membisu dan merestui semua bentuk korupsi, ketidakadilan, dan cengkaman pemerintah. How can I be neutral, even my pen has a stand!

    1 Comment

Leave a Reply

Your Shopping Cart