13

Nov

GANGGUAN TERHADAP ZUNAR DAN TEAMNYA

0 Comment| 0 Likes

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengutuk sekeras-kerasnya gangguan dan tekanan oleh kerajaan terhadap kartunis politik Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali dengan penanya, Zunar. Kami menuntut pihak polis dan Menteri Dalam Negeri untuk menegakkan hak Zunar seperti yang dijamin dalam Perlembagaan dengan menghentikan semua gangguan terhadap Zunar, pembantu-pembantunya, para pencetak dan pemiik-pemilik kedai buku.

Sebelum ini, Zunar telah ditekan oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana  menghasilkan karya kartun yang dituduh memudaratkan ketenteraman awam. Lebih daripada 400 salinan buku beliau telah dirampas dan lima judul buku beliau bertajuk “Perak Darul Kartun”, “1 Funny Malaysia”,”Isu Dalam Kartun” Vol. 1, 2 dan 3 telah diharamkan oleh Menteri Dalam Negeri dari 2009 hingga 2010.

Tekanan terhadap Zunar telah diperluaskan kepada pencetak, vendor dan pemilik kedai-kedai buku di seluruh negara dimana permis mereka telah diserbu oleh pihak berkuasa dan mereka diberi amaran untuk tidak mencetak dan menjual buku Zunar pada masa akan datang.

Terbaru, pada 6 November 2014, pembantu Zunar – Rizaldy Rafie, Raja Norita dan Norliza Kassim telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Putrajaya kerana menjual buku kartun kontroversi oleh Zunar bertajuk “Konspirasi Memenjarakan Anwar” dan “Pirate of the Carry-BN “. Dalam tangkapan itu, sebanyak 44 buah buku kartun Zunar telah dirampas oleh polis  dan pembantu Zunar telah disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Mesin Cetak, Akta Penerbitan 1984, dan Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

Semalam, pada 12 November 2014, pengendali laman web telah dipanggil polis ke balai Dang Wangi untuk disoal siasat. Selain itu, semalam, pada 12 November 2014 juga Zunar telah dimaklumkan oleh polis untuk melapor diri di balai polis Dang Wangi untuk siasatan di bawah Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan.

Tindakan polis ini bertentangan dengan pendirian yang baru-baru ini diambil oleh  Mahkamah Rayuan. Bulan lepas, Mahkamah Rayuan telah menolak pengharaman oleh Menteri Dalam Negeri  terhadap dua buku kartun Zunar, “Perak Darul Kartun” dan “1 Funny Malaysia” atas alasan ia menjadi ancaman kepada keselamatan negara atau ketenteraman awam. Hakim Mohamad Ariff menyatakan bahawa undang-undang itu tidak boleh  disalahgunakan oleh eksekutif dan kebencian orang ramai tidak boleh begitu mudah  disamakan dengan ketenteraman awam.

Walau bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri, dalam surat bertarikh 10 November  2014 telah merayu di Mahkamah Persekutuan agar keputusan Mahkamah Rayuan itu  dibatalkan.

Di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa setiap  warganegara mempunyai hak untuk kebebasan bersuara dan sekatan hanya perlu  sekiranya sesuatu itu mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral. Untuk ini, ia bertentangan dengan logik dan akal untuk menyatakan bahawa kartun politik Zunar boleh dikatakan sebagai memudaratkan ketenteraman awam, moral dan  keselamatan negara, sudah tentu tidak.

Tiada sesiapa yang harus tertakluk kepada ugutan, dianggap penjenayah dan berhadapan pemenjaraan kerana menghasilkan kartun yang merupakan ekspresi yang sah, iaitu luahan pendapat politik melalui bentuk seni. Pembaca yang matang akan berfikiran terbuka untuk menerima lakaran yang dibuat antara fakta dan jenaka.

Kerajaan memberi gambaran bahawa mereka bersifat penindas, zalim dan pemimpin yang berfikiran sempit dengan meletakkan tekanan berat ini kepada Zunar dan pasukan beliau. Walaupun kerajaan enggan untuk mengiktiraf dan menghargai kerja Zunar, pada tahun  2011, Zunar telah diberi anugerah “Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial” oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, sebuah NGO yang berpangkalan di  Washington, Amerika Syarikat. Dan sekali lagi pada bulan Oktober 2014, salah satu buku Zunar, “Pirate of The Carry-BN” telah diterima ke dalam Library of Congress di Washington.

Kebebasan bersuara adalah lambang keterbukaan berekspresi bagi sesebuah negara  demokratik. Sebagai satu badan yang percaya kepada hak kebebasan bersuara, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dengan ini menyeru kerajaan untuk:

  1. Hentikan semua siasatan terhadap Zunar, tiga daripada pembantunya, serta tekanan terhadap pengendali laman web beliau.
  2. Berhenti menakutkan pencetak, penerbit, penjual dan pemilik kedai buku yang bekerjasama dengan Zunar.
  3. Hentikan pengharaman buku kartun Zunar dan memulangkan semua buku yang dirampas.
  4. Menghormati kebebasan bersuara dan memansuhkan Akta Hasutan.

Dikeluarkan oleh,

Yap Swee Seng

Pengarah Eksekutif

 

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Encik Yap Swee Seng, pengarah eksekutif di +60 12 2015272 atau [email protected]

Leave a Reply

Your Shopping Cart