Karikatur Hari Raya: Saya tawarkan kursus “Mari Ketawa” kepada NGO Baju Merah dan KPN

ISU karikatur dalam media sosial Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

Setelah saya membaca, didapati karikatur tersebut tidak mempunyai sebarang kesalahan dari segi etika, budaya atau undang-undang. Kartun harus dibaca dari dua aspek – subjek dan objek. Subjek dalam kartun ini ialah isu semasa manakala sambutan Hari Raya hanyalah objek latar belakang untuk memperkukuhkan isu. Kartun tersebut menggambarkan dua orang kanak-kanak datang ke rumah seseorang untuk berhari raya. Dialognya – “Tahun ini, kami tak mintak duit raya, kami mintak derma,” dan dialog satu lagi berbunyi “Tak dapat derma, dedak pun OK.”

Kartun ini tidak bercerita tentang Hari Raya. Isu yang hendak disampaikan adalah “derma” dan “dedak.” Kedua-dua isu ini bukanlah ciptaan kartunis atau Nga. Ia adalah isu yang hangat diperkata di Malaysia sekarang ini. Ia timbul selepas ada orang mengambil wang 2.6 bilion dan dikatakan sebagai derma dan kemudian memberi imbuhan (dedak) kepada pengikut-pengikutnya supaya menutup mulut. Memang menjadi tanggungjawab kartunis untuk membawa isu-isu semasa dalam setiap karya-karyanya. Dan ia sangat menepati kriteria kartun-kartun satira.

Jika karikatur itu tidak menyalahi etika melukis kartun, kenapa pula menjadi kesalahan apabila Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menyiarkan dalam media sosialnya? Ahli Umno membuat laporan polis dan semalam, kira-kira 200 orang NGO berbaju merah mengadakan tunjuk perasaan di depan pejabat DAP kerana katanya kartun itu mengguris perasan Melayu dan Islam.

Bagaimana mereka boleh terguris sedangkan memberi wang kepada tetamu yang datang ke rumah bukanlah ajaran Islam. Dan budaya wang dalam sampul “Ang Pow” jelas berasal dari budaya mesyarakat Cina, bukan budaya Melayu. Saya difahamkan, karikatur ini pun dilukis oleh seorang kartunis Melayu dan Islam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakarpula mahu Nga di siasat di bawah Akta Hasutan. Jika kartun begini dianggap jenayah, kartun-kartun satira lain seperti “Senyum Kambing” juga jenayah dan juga patut disiasat. Saya tidak faham IQ dan mentaliti orang-orang berkuasa di Malaysia.

Bagi saya, kartun tersebut jelas tidak menyalahi dari sudut etika dalam lukisan kartun. Kartun ini juga tidak bertentangan mana-mana budaya atau agama. Kartun ini juga bukanlah satu kesalahan di bawah undang-undang jenayah.

Orang yang waras akalnya, apabila membaca kartun tersebut, pasti akan terhibur. Saya tidak faham kenapa ahli-ahli Umno, KPN dan NGO baju merah tidak melihat kartun ini sebagai bahan ketawa ringan. Apakah ahli-ahli Umno, KPN dan NGO baju merah ini manusia berhati batu yang tidak mempunyai deria ketawa?

Jika begitu keadaannya, saya dengan ini ingin menawarkan kursus “mari ketawa” kepada mereka secara percuma. Saya sanggup menerima jemputan untuk mengadakan kursus tersebut di mana juga. Saya khuatir kerana kurang ketawa boleh meningkatkan depression dan mengundang berbagai penyakit. Saya percaya tidak ada sebuah bangsa yang akan maju jika mereka sudah tidak tahu ketawa.

Zunar

Kartunis Politik

12 Julai 2016